Saturday, 4 May 2013

Masalah Dalam Membaca











Salah satu isu yang amat menarik perhatian semua pihak sama ada para pendidik, ibu bapa dan ahli masyarakat ialah isu pelajar tidak dapat membaca walaupun telah berada pada satu tahap persekolahan yang tinggi. Tidak dapat dinafikan bahawa sememangnya terdapat sekumpulan pelajar yang masih tidak dapat membaca meskipun mereka telah berada di sekolah menengah. Ekoran daripada itu, terdapat beberapa istilah yang digunakan dalam bidang literasi tentang isu ini. Yang pertama sekali ialah pelajar yang tidak dapat membaca pada tahapnya atau umur akalnya. Istilah ini digunakan bagi pelajar yang tidak dapat membaca pada tahap umur akal yang sepatutnya berdasarkan umur biologinya. Umur akal bermaksud umur seseorang pelajar yang disukat berdasarkan kurikulum rasmi sesuatu sistem pendidikan. Misalnya, “Darjah Satu” bermaksud seseorang kanak-kanak tersebut mestilah mempunyai umur akal yang mencapai kemahiran yang dikemukakan oleh sukatan pelajaran yang disediakan untuk Darjah Satu oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia. 
     Selain itu, terdapat juga umur biologi iaitu umur yang dikira mulai tarikh seseorang itu dilahirkan. Misalnya, pada tahun pertama seseorang dilahirkan umurnya ialah satu tahun dan seterusnya hinggalah ke akhir hayatnya. Hal ini dapat diperjelaskan lagi apabila kita ambil contoh seorang pelajar Tingkatan Tiga yang umur biologinya ialah 15 tahun dan umur akalnya Tingkatan Tiga. Berdasarkan kurikulum Bahasa Melayu Tingkatan Tiga, pelajar ini seharusnya berkeupayaan mencari isi penting yang tersirat, membuat taakulan dan memberi kesimpulan terhadap petikan. Namun demikian, keadaan yang berlaku adalah pelajar Tingkatan Tiga ini masih tidak dapat menguasai kemahiran yang disebutkan walaupun telah dapat menjawab soalan pada tahap mengingat semula dan mencari isi tersirat. Hal ini membuktikan bahasa wujudnya masalah dalam membaca pada tahap umur akal seseorang. Manakala isu yang kedua pula ialah isu yang berkaitan dengan tahap-tahap umur akal seseorang murid atau pelajar Darjah Satu hingga ke Tingkatan Lima. Hal ini demikian kerana mereka tidak dapat menguasai kemahiran asas membaca seperti tidak dapat membuat diskriminasi antara bunyi huruf dan tidak dapat mendekod perkataan berdasarkan bunyi bahasa Melayu. Hal ini menunjukkan bahawa masalah dalam membaca ini bukannya disebabkan oleh masalah pengajaran tetapi lebih kepada masalah kerencatan.
             Antara kecacatan fizikal yang menyebabkan masalah dalam membaca ialah dari segi penglihatan. Hal ini dapat dijelaskan apabila seseorang yang mengalami masalah juring akan menggunakan (fokus) kedua-dua biji mata ke arah yang sama yakni mengakibatkan imej bagi satu benda yang sama kelihatan tidak sama saiz dan bentuknya. Begitu juga dengan seseorang yang mengalami masalah rabun dekat dan rabun jauh. Mereka yang mengalami masalah rabun dekat (myopia) tidak dapat melihat pada jarak yang jauh manakala kepada mereka yang mengalami masalah rabun jauh mereka tidak dapat melihat bagi jarak yang dekat. Astigmatism pula merupakan penglihatan yang kabur diakibatkan kurangnya fokus cahaya pada salah satu atau kedua-dua hujung retina. Amblyopiks pula merupakan satu keadaan imej daripada salah satu biji mata tidak sampai ke otak. Maka jelaslah bahawa kesemua simptom ini akan menyebabkan masalah kepada seseorang kanak-kanak untuk menggunakan penglihatan pada peringkat awal dalam kemahiran membaca iaitu mencerap imej huruf yang dipaparkan pada permukaan bertulis. Hal ini secara tidak langsungnya akan pula menyebabkan kanak-kanak akan menghadapi masalah untuk ameneruskan proses membaca pada peringkat seterusnya iaitu peringkat mendekod.
          Selain itu, pelajar yang mempunyai persepsi penglihatan yang bercelaru juga akan menyebabkan kesukaran untuk membaca yakni menyebabkan masalah dalam membaca. Antara simptom masalah ini adalah perkataan yang dilihat kelihatan seolah-olah satu percampuran huruf yang tidak bermakna apabila perkataan musik akan dilihat sebagai msuki. Huruf atau perkataan seperti b dalam perkataan bas pula akan terbalik menjadi d iaitu das. Seterusnya, seseorang pelajar tersebut juga tidak akan dapat mengenal pasti huruf yang sebenar sekiranya berlakunya pertukaran jenis percetakan atau saiz huruf di samping akan melihat satu perkataan tersebut sebagai imej cermin dan tidak akan dapat membezakan suku kata. Masalah dalam membaca ini dapat diselesaikan sebenarnya dengan memperbetulkan aspek penglihatan yang merupakan punca utama yang menyebabkan masalah dalam membaca bermula.
          Selanjutnya, pelajar yang mempunyai masalah pendengaran yang teruk turut akan menyebabkan masalah dalam membaca. Hal ini demikian kerana pelajar tersebut akan menghadapi masalah untuk membezakan bunyi vokal dan konsonan. Misalnya, kanak-kanak ini tidak dapat membezakan antara vokal a dengan vokal e, u dengan o dan i dengan e. Pelajar yang mempunyai masalah pendengaran yang ringan boleh dibantu dengan teknik yang dapat meningkatkan perbendaharaan kata. Secara umumnya, kerencatan pendengaran terdapat dalam dua kategori iaitu kerencatan sementara dan kerencatan kekal. Kerencatan sementara boleh dirawat dengan mendapatkan rawatan doktor perubatan biasa untuk tujuan pembersihan lubang telinga atau dengan mengambil antibiotik. Sebaliknya, kerencatan yang kekal pula memerlukan rawatan pakar sama ada dalam jangka masa yang panjang ataupun dengan melakukan pembedahan. Hal ini berlaku kerana guru pemulihan tidak akan dapat melakukan kedua-dua jenis rawatan ini dan hanya doktor perubatan dan pakar Telinga, Hidung dan Tekak sahaja yang dapat melakukannya.
          Tambahan pula, punca masalah pertuturan juga akan menyebabkan masalah dalam membaca. Masalah pertuturan yang terjadi dengan berlakunya kecelaruan bunyi suara, nada yang tidak menentu dan pertuturan spastik merupakan masalah emosi, kelewatan pertumbuhan, kurang pendengaran, pertumbuhan kerongkong yang tidak lengkap, sumbing dan kecederaan otak atau sebahagian daripada otak. Namun demikian, ingin ditegaskan di sini ialah tidak semua punca masalah pertuturan ini boleh mengakibatkan masalah dalam membaca kerana walaupun ada kesannya ia tetap merupakan kesan tidak langsung iaitu kesan psikologikal.
             Neurologi turut merupakan salah faktor yang menyebabkan masalah dalam membaca. Neurologi merupakan kajian yang berkait dengan sistem saraf iaitu sistem saraf manusia termasuklah sistem dalam otak, tulang belakang, urat, ganglia ataupun dikenali sebagai tisu urat yang pelbagai dan bahagian organ reseptor. Faktor ini merupakan faktor yang berkait dengan masalah kesihatan yang diakibatkan oleh jangkitan kuman atau prakelahiran.
         Kerosakan otak merupakan salah satu faktor neurologikal yang diakibatkan oleh kecederaan, penyakit atau kesan bahan toksik yang mencemar otak atau bahagian otak. Kecederaan otak juga boleh terjadi sejak dilahirkan (pre-natal neurological disorder). Hal ini akan menyebabkan lesion atau perubahan yang luar biasa terhadap bentuk. Pada kebiasaannya, pengesanan terhadap kecederaan otak ini boleh dilakukan menerusi electroencephalogram (EEC) namun begitu tidak semua keputusan ujian yang dijalankan oleh EEC ini adalah bertepatan biarpun ia telah disertakan dengan kajian sejarah kelahiran.
          Di samping itu, neurologi yang tidak berfungsi dengan mempunyai bahagian otak yang tidak berkembang sepenuhnya atau bahagian otak yang tertutup sebahagiannya sejak dilahirkan turut akan menyebabkan masalah dalam membaca. Manakala buta perkataan yang berlaku dalam kalangan orang dewasa juga boleh diakibatkan oleh serangan jantung. Sebagai contohnya, hyperlexia akan menyebabkan seseorang lambat perkembangannya dalam bahasa dan akal. Maka jelaslah bahawa simptom ini secara tidak langsungnya akan menyebabkan masalah dalam membaca.
                Selanjutnya, faktor keturunan seseorang juga akan menyebabkan masalah dalam membaca. Kajian telah membuktikan bahawa kanak-kanak kembar, kembar seiras dan kembar seibu akan menunjukkan kemampuan yang berbeza dalam pencapaian. Hal ini demikian kerana kembar seiras lebih rapat hubungannya dalam pencapaian daripada kembar seibu. Kajian juga telah membuktikan bahawa anak yang berasal daripada keluarga yang tidak tahu membaca lebih lemah dalam pencapaian membaca berbanding anak yang berasal daripada keluarga yang tahu membaca.
              Bukan itu sahaja, kegagalan dalam membaca pula akan mengganggu emosi seseorang pelajar. Maka jelaslah bahawa pelajar yang gagal membaca biasanya akan mempunyai rasa rendah diri, terasing, tidak bermotivasi, kecewa, gagal, malas dan sebagainya. Masalah emosi ini seterusnya pula akan mengganggu pencapaian kanak-kanak dalam pelajaran umumnya dan membaca khasnya. Tidak dapat dinafikan bahawa kes penderaan, kes kanak-kanak terbiar dan kes perpecahan keluarga turut boleh mengakibatkan gangguan emosi kepada kanak-kanak yakni menyebabkan emosi mereka terganggu.
             Akhir sekali, status sosioekonomi (SES) sering menjadi salah satu pemboleh ubah dalam kajian yang berkaitan pencapaian pelajar untuk membaca. Kanak-kanak dari SES rendah biasanya mempunyai pencapaian yang rendah manakala kanak-kanak dari SES tinggi pula selalu akan mendapat pencapaian yang tinggi. Malah keturunan kaum dan perbezaan budaya juga akan mempengaruhi pencapaian pelajar dalam membaca.
        Sebagai kesimpulannya, walau apapun punca yang menyebabkan masalah dalam membaca, pengesanan awal dan cadangan kepada pihak sekolah dan ibu bapa merupakan satu perkara yang perlu diambil perhatian. Hal ini amat penting kerana tindakan awal dapat diambil bagi membantu kanak-kanak ini supaya mereka tidak akan terus tercicir dalam sistem pendidikan kita yang berasaskan umur akal. Hal ini demikian kerana hanya pakar perubatan, pakar psikologi dan pakar kanak-kanak sahaja yang dapat memberikan rawatan yang sewajarnya bagi membantu menyelesaikan masalah dalam membaca ini. Sekiranya kanak-kanak ini tidak dibantu dari awal maka kemungkinan untuk mereka berjaya pada tahap yang lebih tinggi adalah tipis bagi kebanyakan kes. Maka jelaslah bahawa peranan pihak sekolah dan ibu bapa amatlah penting dalam menangani masalah dalam membaca ini.



















No comments:

Post a Comment